
Ubat darah tinggi hampir habis, dan anda cuma perlukan bekalan baru. Kenapa masih perlu berjumpa doktor? Panduan ini menerangkan apa yang berlaku semasa sesi sambung ubat, apa yang patut dibawa supaya urusan lebih cepat, dan ujian yang mungkin diperlukan.
Kenapa perlu jumpa doktor untuk sambung ubat?
Kebanyakan ubat penyakit kronik ialah ubat preskripsi. Di bawah Akta Racun 1952, ubat jenis ini hanya boleh dibekalkan oleh, atau mengikut preskripsi, pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan. Setiap kali sambung ubat, doktor menyemak sama ada ubat masih sesuai, dosnya masih betul, dan tiada kesan sampingan.
Penyakit kronik juga berubah dari semasa ke semasa. Tekanan darah atau gula yang terkawal tahun lepas mungkin memerlukan dos baharu hari ini, dan sesetengah masalah — contohnya kesan pada buah pinggang — tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
Apa yang perlu dibawa
- Semua ubat yang sedang diambil, termasuk kotak atau label — atau gambar label di telefon
- Surat atau preskripsi daripada hospital atau klinik lain, jika ubat anda bermula di sana
- Catatan bacaan tekanan darah atau gula di rumah, jika ada
- Keputusan ujian darah terkini, jika dibuat di tempat lain
- Kad pengenalan, serta kad panel atau insurans jika berkenaan
Ujian berkala yang biasa
Bergantung pada penyakit dan ubat, doktor mungkin mencadangkan ujian seperti:
- Kencing manis: HbA1c, biasanya setiap 3 hingga 6 bulan, serta ujian fungsi buah pinggang dan air kencing
- Darah tinggi: bacaan tekanan darah pada setiap lawatan, serta ujian buah pinggang dan kolesterol secara berkala
- Kolesterol: profil lipid, dan ujian fungsi hati bagi sesetengah ubat
Di Klinik NurCahaya, saringan darah asas (FBC, buah pinggang, hati, lipid dan air kencing) dari RM80, dan saringan diabetes yang turut merangkumi HbA1c dari RM130. Lihat halaman Harga.
Jangan berhenti ubat sendiri
Rasa sihat biasanya bermaksud ubat sedang berkesan — bukan tanda penyakit sudah hilang. Jangan berhenti atau menukar dos tanpa berbincang dengan doktor. Jika ubat menyebabkan kesan sampingan, beritahu doktor; selalunya ada pilihan lain.
Bila perlu jumpa doktor lebih awal
- Bacaan tekanan darah di rumah kerap melebihi sasaran yang doktor tetapkan
- Gula terlalu rendah (menggigil, berpeluh, keliru) atau kerap terlalu tinggi
- Kesan sampingan baru selepas memulakan atau menukar ubat
Hubungi 999 jika anda mengalami sakit dada, sesak nafas teruk, atau tiba-tiba lemah sebelah badan, muka herot atau pelat.
Kos
Rundingan doktor bermula dari RM30 untuk pesakit bayar sendiri. Ubat dicaj berasingan mengikut jenis dan jumlah. Bagi pesakit panel, perlindungan bergantung pada kad dan pelan anda.
Soalan lazim
Boleh beli ubat darah tinggi terus di farmasi?
Ubat preskripsi memerlukan preskripsi doktor. Ahli farmasi boleh membekalkannya mengikut preskripsi yang sah.
Boleh saya wakilkan orang lain untuk ambil ubat?
Secara umumnya pesakit perlu hadir, kerana doktor perlu menilai keadaan anda sebelum membekalkan ubat preskripsi. Jika ada keadaan khas, hubungi kami dahulu.
Ubat saya dari hospital kerajaan — boleh sambung di sini?
Boleh berjumpa doktor kami dengan membawa surat atau senarai ubat daripada hospital. Doktor akan menilai keadaan anda dan menerangkan jika ada perbezaan ubat.
Berapa lama bekalan ubat yang diberi?
Bergantung pada keadaan anda dan jenis ubat. Doktor akan menetapkan tarikh temu susulan yang sesuai.
Perlu puasa sebelum ujian darah?
Bergantung pada ujian. HbA1c tidak memerlukan puasa. Untuk sesetengah ujian gula atau kolesterol, doktor mungkin meminta anda berpuasa terlebih dahulu — tanya kami sebelum datang.
Rujukan
- Akta Racun 1952 (Akta 366), Undang-Undang Malaysia
- Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus (Edisi ke-6), Kementerian Kesihatan Malaysia
Artikel ini ialah maklumat umum dan tidak menggantikan pemeriksaan doktor. Penafian Perubatan
